ANTARA aspek utama yang diberi tumpuan dalam rawatan terapi bagi pesakitnya, yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas, adalah untuk memastikan mereka mampu bergerak sendiri dengan baik.
Salah satu cara bagi mencapai matlamat tersebut adalah melalui aktiviti berjalan kaki sama ada menggunakan alat bantuan seperti tongkat atau tidak menggunakan apa-apa bagi mengembalikan kekuatan otot-otot mereka, menurut pakar fisioterapi di Hospital Masyarakat Sengkang (SKCH), Cik Nafeela Begum.
Selain menambah kekuatan daripada segi fizikal pesakit-pesakit warga emas, aktiviti berjalan juga bolehmembuat mereka berasa lega dan membantu menjaga kesihatan mental mereka, tambahnya.
Menyentuh tentang kesan aktiviti tersebut terhadap proses terapi, salah seorang pesakitnya yang telah dijangkiti Covid-19 dan pneumonia, Cik Nafeela berkata:
"Pertama kali saya menemuinya, memang beliau lemah sangat, berdiri juga perlu dibantu. Namun, selepas rawatan pemulihan yang antaranya merangkumi aktiviti bergerak atau berjalan bagi setiap sesi, beliau boleh berjalan dengan sendiri sepanjang 100 meter tanpa bantuan sebelum berehat.
"Terapi tersebut juga membantu kesihatan mentalnya kerana ia mengurangkan rasa bimbang yang dialami dan membuat beliau lebih gembira," katanya.
Aktiviti berjalan bukan sahaja harus dilakukan oleh pesakit yang memerlukan fisioterapi, malah ia juga memberi manfaat kepada setiap individu daripada pelbagai lapisan usia apabila ia disesuaikan dengan keperluan mereka, jelas Cik Nafeela, 28 tahun.
Justeru, beliau akan sentiasa menggalakkan pesakitnya serta ahli keluarga dan teman-teman mereka untuk berjalan kaki dengan kerap unagar dapat meraih pelbagai manfaat terhadap kesihatan.
Malah, aktiviti berjalan kaki seperti ini juga merupakan senaman pilihan Cik Nafeela. Baginya, aktiviti sebegini dapat menambah tenaganya setiap hari.
Menurutnya, aktiviti berjalan kaki merupakan sejenis senaman kardio yang dapat mengawal berat badan, tahap kolestrol, tahap gula dalam darah dan seterusnya dapat mencegah beberapa masalah kesihatan yang lebih kronik seperti penyakit jantung, angin ahmar dan juga kencing manis.
Selain itu, ia dapat juga menambah stamina dan menguatkan lagi otot dan tulang serta menambah fleksibiliti badan, katanya.
"Selain manfaat kesihatan fizikal, ia juga baik dari segi kesihatan mental.
"Sebagai contoh, berjalan-jalan di luar sambil menikmati keindahan alam semula jadi boleh bantu mengurangkan tekanan, membuat mood anda lebih baik dan menjaga kesihatan mental.
"Ia juga boleh dijadikan sebagai satu aktiviti sosial di mana kita dapat meluangkan masa bersama teman-teman atau keluarga," katanya yang mula berkhidmat di SKCH sejak lima tahun lalu.
Untuk meraih manfaat yang lebih menyeluruh, aktiviti berjalan kaki ini perlu disertakan dengan senaman yang dapat mengukuhkan otot seperti senaman 'sit-to-stand' dan 'squat' serta senaman 'stretching' atau regangan bagi melegakan otot.
Antara saranan pakar bagi meraih manfaat senaman berjalan kaki secara lebih menyeluruh adalahdengan memastikan postur badan tidak membongkok dan sentiasa memandang ke hadapan dan bukan ke bawah semasa berjalan, kata Cik Nafeela.
"Kita juga perlu memastikan tempoh, intensiti dan kekerapan kita melakukan senaman ini sesuai dengan tahap keselesaan kita.
"Penting juga untuk memastikan kita memilih kasut dan pakaian yang sesuai untuk berasa selesa semasa bersenam," ujarnya yang juga menambah bahawa melakukan aktiviti ini dengan teman juga dapat menyemarakkan lagi semangat bersenam.
Antara acara yang boleh disertai orang ramai adalah acara berjalan kaki beramai-ramai iWalk anjuran hospital masyarakat SingHealth (SCH) yang diadakan hingga 16 Disember ini.
Dapatkan maklumat di laman
https://web.42race.com/race-bundle/iwalk2022.
Acara iWalk
Acara berjalan kaki beramai-ramai tahunan, iWalk kini diadakan hingga 16 Disember 2022.
Anjuran hospital masyarakat SingHealth (SCH), acara itu bertujuan membawa anggota masyarakat bersama memulakan perjalanan mereka ke arah kehidupan yang lebih sihat.
Tags:
;
;
;
;
News Article;
SingHealth Community Hospitals;
SingHealth Community Hospitals;Sengkang Community Hospital;
;
Berita Harian;
;
;
;
;
Patient Care;Aging;Hobbies Related