Pelbagai usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan paliatif di Singapura dan menambah bilangan orang yang memanfaatkan perkhidmatan yang ditawarkan sedang penduduk di sini semakin menua. Bilangan pesakit yang menggunakan perkhidmatan itu sudah mula meningkat namun masih banyak yang boleh dilakukan untuk memperbetul salah tanggapan tentang penjagaan tersebut dan menggalak perbincangan tentang urusan akhir hayat. BERITA HARIAN melaporkan.
Permintaan bagi khidmat penjagaan paliatif di Singapura, termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam, telah meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan sedang penduduk negara ini semakin menua.
Pesakit mungkin menerima perkhidmatan itu di rumah, di pusat penjagaan harian, di hospis atau hospital, namun bilangan mereka yang akhirnya meninggal dunia di rumah didapati telah meningkat, dengan kadar pesakit Melayu/Islam menghembuskan nafas terakhir di rumah lebih tinggi berbanding pesakit lain.
Namun sedang kesedaran orang ramai tentang penjagaan paliatif menjadi semakin baik, masih terdapat salah tanggapan tentang harga perkhidmatan itu serta keadaan kemudahan penjagaan yang dijangka suram, kata beberapa penyedia khidmat penjagaan paliatif yang dihubungi Berita Harian baru-baru ini.
Mereka mengajak orang ramai agar mengubah pemikiran mereka dan melihat penjagaan paliatif bukan sebagai menunggu kematian, tetapi sebagai peluang memanfaatkan baki masa bersama dengan sebaik mungkin dan melalui setiap hari dengan penuh bermakna.
Apa itu penjagaan paliatif?
Di Singapura, istilah 'penjagaan paliatif' dan 'penjagaan hospis' merujuk kepada perkara yang sama.
Ia adalah penjagaan bagi meringankan penderitaan dan memperbaiki mutu kehidupan pesakit dan ahli keluarga mereka dengan menjaga pesakit secara menyeluruh daripada segi fizikal, psikologi, sosial atau rohani. Ia bertujuan menyokong pesakit sepanjang proses rawatan.
Antara lain, penjagaan paliatif membantu mengawal rasa sakit dan gejala, kaunseling kewangan, sokongan emosi dan latihan penjaga.
Pesakit daripada peringkat bayi kepada warga emas, boleh meraih manfaat melalui penjagaan itu jika mereka mempunyai penyakit mencabar seperti barah tahap lanjut atau penyakit kronik seperti kegagalan otak serta saraf, paru-paru, jantung dan ginjal peringkat akhir.
Penjagaan paliatif ditawarkan oleh pelbagai penyedia khidmat di Singapura seperti hospis, hospital masyarakat, hospital awam, klinik pakar dan rumah penjagaan warga emas.
Pada 2017, Jamiyah Singapura berkata ia mahu membangunkan sebuah kemudahan baru bagi menawarkan khidmat paliatif dan hospis.
Berita Harian telah meminta Jamiyah mengongsi perkembangan mengenai rancangan itu namun pertubuhan tersebut enggan mengulas.
Penjagaan paliatif kian mendapat perhatian setelah Kementerian Kesihatan (MOH) dalam seminar kerjanya pada 2022 membentangkan usaha untuk meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan itu serta menambah kapasiti dan sokongan untuk penjaga di rumah.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata 61 peratus orang masih meluangkan hari-hari terakhir di hospital dan Singapura berharap untuk mengurangkan angka itu kepada 51 peratus dalam masa lima tahun dengan meningkatkan sokongan bagi penjagaan paliatif.
Pada 1 Julai 2023, Encik Ong mengumumkan bahawa sokongan kewangan bagi penjagaan paliatif akan dipertingkat mulai 2024.
Ini termasuk langkah meningkatkan subsidi untuk penjagaan paliatif dan melaraskan had tuntutan MediShield Hayat bagi penjagaan paliatif pesakit di hospital.
Beliau turut melancarkan Strategi Nasional bagi Penjagaan Paliatif (NSPC) 2023, yang menggariskan cadangan untuk mengembangkan dan menambah baik penjagaan paliatif di Singapura.
Permintaan bagi penjagaan paliatif
Menurut penyedia penjagaan hospis terbesar di Singapura, HCA Hospice, ia telah melihat trend meningkat dalam bilangan pesakit yang mendapatkan khidmat penjagaan paliatif yang ditawarkan di hospis harian dan rumah.
Ia mempunyai 3,800 pesakit hospis rumah dan lebih 330 pesakit hospis harian bagi tahun kewangan 2022 iaitu antara 1 April 2022 dengan 31 Mac 2023 – masing-masing naik 5 peratus dan 27 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Permintaan bagi perkhidmatan HCA dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam juga didapati meningkat sedikit sepanjang tiga tahun lalu dengan peningkatan 2 peratus bagi tahun kewangan 2022 berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Permintaan bagi tahun kewangan 2021 pula naik 9 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Hospital Masyarakat St Andrew's juga berkata ia menyaksikan peningkatan dalam permintaan bagi khidmat penjagaan paliatif dalam beberapa tahun kebelakangan disebabkan penduduk yang semakin tua.
Perkadaran pesakit Melayu/Islam yang mendapatkan penjagaan itu juga telah meningkat daripada sekitar 15 peratus bilangan pesakit dalam pada 2020 kepada 25.6 peratus pada 2022.
Rujukan penjagaan rumah bagi pesakit Melayu/Islam pula kekal stabil pada sekitar 20 peratus daripada keseluruhan pesakit di hospital masyarakat itu.
HCA berkata ia turut melihat trend meningkat melibatkan pesakit yang lebih uzur dimasukkan ke dalam perkhidmatannya menjadikan tempoh khidmat yang diberikan kepada pesakit didapati menjadi lebih singkat.
Ia berkata purata tempoh perkhidmatan hospis rumah bagi tahun kewangan 2022 ialah 89.8 hari berbanding 97.3 hari untuk tahun kewangan sebelumnya.
Dalam kalangan pesakit Melayu/Islam, pesakit mendapatkan perkhidmatan HCA selama 113 hari secara purata bagi tahun kewangan 2022, berbanding 134 hari bagi tahun kewangan sebelumnya dan 166 hari bagi tempoh sebelum itu.
"Kami berharap pesakit dapat dimasukkan ke dalam perkhidmatan kami lebih awal, supaya kami mempunyai lebih banyak masa untuk menyokong mereka dan insan yang mereka sayangi," kata pengarah perubatan HCA Hospice, Dr Chong Poh Heng.
HCA juga mendapati sebahagian besar pesakit mereka akhirnya meninggal dunia di rumah iaitu 61 peratus bagi tahun kewangan 2022 dan 63 peratus bagi tahun kewangan sebelumnya,
Peratusan pesakit Melayu/Islam di HCA yang meninggal dunia di rumah juga didapati lebih tinggi berbanding pesakit lain bagi tiga tahun kewangan lalu, iaitu sebanyak 73 peratus.
Hospital Masyarakat Sengkang (SKCH), yang menawarkan khidmat penjagaan paliatif dan hospis pesakit dalam, pula berkata sedang kebanyakan pesakitnya meninggal dunia di hospital, terdapat juga mereka yang meminta untuk menghembuskan nafas terakhir di rumah apabila mereka mencapai fasa akhir penyakit mereka dengan hayat mereka dijangka berakhir dalam masa kurang seminggu.
SKCH dan Hospital Masyarakat Outram berada di bawah Hospital-Hospital Masyarakat SingHealth (SCH)
"Di SCH (Hospital Masyarakat SingHealth), kami melihat semakin ramai orang memilih untuk membawa insan yang mereka sayangi pulang ke rumah untuk meninggal dunia.
"Ini terutamanya apabila pesakit sebelum ini melahirkan hasrat mereka untuk meninggal dunia di rumah," kata timbalan pengarah perkhidmatan penjagaan paliatif dan sokongan Hospital Masyarakat SingHealth (SCH), Dr Ami Nagashima. SCH terdiri daripada SKCH dan Hospital Masyarakat Outram.
Atasi salah tanggapan
Dr Chong bekata kesedaran awam tentang penjagaan paliatif kian meningkat, namun masih terdapat salah tanggapan bahawa kos penjagaan paliatif adalah mahal atau hospis adalah tempat yang gelap dan suram.
"Semua perkhidmatan kami ditawarkan secara percuma, dan ramai yang telah mengunjungi hospis harian kami sering terkejut melihat persekitaran dan orang-orang yang mesra dan penuh harapan," katanya.
Dr Nagashima pula berkata sesetengah pesakit dan anggota keluarga bimbang bahawa menerima penjagaan paliatif bermakna mereka tidak lagi menerima sebarang rawatan.
"Sebaliknya, di wad penjagaan paliatif di SCH, rasa sakit dan gejala lain yang dialami pesakit dipantau dengan teliti oleh pasukan penjagaan kami dan sesi pemulihan ditawarkan kepada semua pesakit setiap hari dari Isnin hingga Jumaat.
"Kegiatan sosial lain seperti menonton rancangan dan filem serta meraikan musim perayaan, dijalankan secara berkala untuk memastikan kesejahteraan menyeluruh pesakit," katanya.
Ketua Jabatan dan Konsultan Kanan Jagaan Sokongan dan Perubatan Paliatif di Hospital Besar Ng Teng Fong, Dr Norhisham Main, berkata kekeliruan bahawa penjagaan paliatif adalah membiarkan pesakit mati atau membenarkan eutanasia masih kedengaran.
"Kebimbangan tentang ubat-ubatan yang digunakan dalam penjagaan paliatif menyebabkan kematian atau ketagihan adalah berleluasa. Mitos dan kekeliruan ini juga terdapat dalam masyarakat Melayu/Islam.
"Oleh itu, usaha untuk mewujudkan kesedaran dan memberikan pengetahuan tentang penjagaan paliatif mesti diteruskan kerana ia adalah halangan yang jelas kepada penyampaian penjagaan paliatif.
"Usaha ini harus diselaraskan merentas budaya dan agama kita yang berbeza supaya kita dapat membina masyarakat yang berbelas ihsan dan menyokong mereka yang sakit tenat," katanya.
Majlis Hospis Singapura berkata ia sedang bekerjasama dengan masyarakat berbeza untuk menyebarkan pengetahuan tentang penjagaan paliatif.
Pada 8 Julai 2023, ia menganjurkan forum untuk ketua pertubuhan bagi menggalak perbualan terbuka dan berterus terang tentang urusan akhir hayat.
Antara yang hadir di acara yang diadakan buat julung kali itu termasuk wakil Masjid Al-Muttaqin.