Singapore National Eye Centre   中文     Bahasa Indonesia
Increase Font Size Decrease Font Size
Print Page Email Friend

NEWS ARTICLES

09 Mar 2011
Contact Lens Woes 
Berita Harian 

sss

ANGKARA KANTA LEKAP 

 

 
 ANGKARA KUMAN : Jangkitan kuman pada                     TERJEJAS : Calar di tengah-tengah kornea 
 kornea akibat penggunaan kanta lekap di mata                  selepas jangkitan kuman di mata pada pesakit
 seorang gadis Melayu berusia 14 tahun.                            yang sama.  Calar ini akan menjejas penglihatan
                                                                                       pesakit ini.

Penggunaan tidak betul atau melekapkan terlalu lama boleh sebabkan jangkitan kuman pada kornea

Penggunaan kanta lekap atau contact lens semakin digemari, terutama di kalangan orang muda dan remaja yang menghidap rabun jauh dan astigmatisme (masalah pada kanta mata) serta orang yang tidak mahu menggunakan cermin mata.

Kanta-kanta kosmetik pula terutama kanta-kanta berwarna, sangat digemari para remaja.  Malangnya cara penggunaan yang tidak betul atau melekapkan terlalu lama boleh menyebabkan jangkitan kuman pada kornea.

Malah, ramai orang muda yang kehilangan penglihatan akibat jangkitan kuman yang disebabkan oleh penggunaan kanta lekap.

Saya pernah merawat para remaja yang menghidap rabun jauh menggunakan kanta lekap berwarna dan mereka dijangkiti kuman sehingga menyebabkan daya penglihatannya berkurangan.

JANGKITAN KUMAN PADA KORNEA

Kornea yang sihat biasanya sukar dijangkiti kuman.  Kanta lekap sebenarnya mengurangkan aliran oksigen pada kornea dan boleh mengguris kornea tanpa disedari kerana gurisannya terlalu halus.

Kadang-kadang organisme-organisme halus yang beriangkit ada pada kanta lekap.  Keadaan begini menyebabkan kornea terdedah kepada jangkitan organisme-organisme seperti kuman dan kulat.

Risiko mendapat jangkitan kuman pada kornea akan meningkat jika seseorang menggunakan kanta lekap terlalu lama, terutama bagi mereka yang menggunakan kanta lekap lebih daripada lapan jam sehari.

Menggunakan kanta lekap semasa tidur dan berenang juga akan menyebabkan jangkitan kuman pada kornea; begitu  juga menggunakan kanta lekap dengan cara yang tidak betul atau kanta tidak dijaga kebersihannya.

Ramai pesakit yang saya rawat menyatakan mereka mencuci kanta lekap mereka dengan menggunakan air paip biasa saja, bukan cecair yang dikhususkan.

Ada di antara mereka yang tidak mencuci tangan mereka dengan bersih semasa memegang kanta lekap.  Tabiat begini sering mengakibatkan jangkitan kuman pada kornea.

Oleh itu, saya berpendapat kanak-kanak tidak sesuai menggunakan kanta lekap kerana mereka tidak tahu menggunakannya dengan cara yang betul dan selamat.

PETANDA JANGKITAN

Petanda-petanda jangkitan kuman pada kornea termasuk mata menjadi merah, sakit dan penglihatan menjadi pudar (Gambar 1).

Ada kalanya terdapat titik-titik putih (tempat jangkitan) pada kornea.

Seandainya anda mengalami petanda-petanda ini semasa memakai atau setelah memakai kanta lekap, anda perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin kerana rawatan awal lebih mujarab.

RAWATAN

Di peringkat awal rawatan, pesakit dikehendaki menitiskan cecair antibiotic pada mata yang dijangkiti kuman.  Sesetengah pesakit perlu dimasukkan ke hospital untuk menjalani rawatan.

Walaupun kebanyakan kes menujukkan pesakit akan beransur pulih setelah beberapa hari mendapat rawatan menggunakan cecair antibiotik, ada sesetengah kes pula perlu menjalani pemindahan kornea untuk memastikan jangkitan kuman itu tidak merebak.

Pesakit-pesakit sedemikian akhirnya akan kurang daya penglihatannya.

Walaupun rawatan cecair antibiotik berjaya, sesetengah pesakit akhirnya akan mendapat kesan calar pada kornea.  Jika calar berkenaan terletak di tengah-tengah kornea, daya penglihatan pesakit akan terjejas (Gambar 2).

PENCEGAHAN

Kebiasaan menggunakan kanta lekap yang betul boleh mengurangkan risiko jangkitan kuman pada kornea.

Berikut adalah kebiasaan-kebiasaan yang baik diamalkan:

▶ Gunakan kanta lekap yang betul-betul sesuai dari segi saiz dan kedudukan.
   Pastikan anda mendapat kanta lekap daripada pakar optic atau pakar optometri yang
   berkelayakan.  Elakkan membeli kanta lekap melalui Internet atau daripada sumber-sumber yang
   tidak boleh dipercayai.
▶ Hadkan penggunaan kanta lekap anda.
▶ Elakkan menggunakannya semasa tidur atau berenang.
▶ Ikut arahan-arahan pengeluar mengenai cara penggunaannya.  Contohnya: kanta lekap yang
   hanya boleh digunakan selama dua minggu, tidak boleh digunakan lebih daripada dua minggu.
▶ Kanta lekap yang tidak perlu diganti-diganti mesti dijaga kebersihannya.  Ia mesti dibersihkan
   dengan rapi setiap hari dengan mengunakan larutan cecair yang betul (mengikut saranan
   pengeluarnya).
▶ Pastikan anda menjaga kebersihan ketika menyentuh kanta-kanta lekap anda seperti mencuci
   tangan hingga bersih sebelum memegangnya.

Jangkitan kuman pada kornea masih boleh terjadi walaupun semua langkah berjaga-jaga telah diambil.

Oleh itu pembedahan lasik untuk membetulkan masalah rabun jauh merupakan pilihan yang munasabah bagi mereka yang perlu menggunakan kanta lekap untuk tempoh yang lama setiap hari.

Find A Doctor
Book An Appointment
Charges
Events
Newsroom
Contact Us
Feedback
Health X-Change Portal
Quick Links