Singapore National Eye Centre   中文     Bahasa Indonesia
Increase Font Size Decrease Font Size
Print Page Email Friend

NEWS ARTICLES

04 May 2011
BERAT MATA MEMANDANG 
Berita Harian 

Arteri retina tersumbat kerana darah beku menghalang pengaliran darah di arteri

MASALAH arteri retina tersumbat jarang berlaku, tetapi kesannya boleh menyebabkan seseorang menjadi buta.  Dalam bahasa Inggeris masalah ini dikenali sebagai retinal artery occlusion.

Ia juga boleh menjadi petanda awal yang menunjukkan seseorang menghadapi masalah kesihatan yang lebih serius seperti serangan sakit jantung atau angin ahmar.  Arteri (saluran darah) retina, khususnya arteri retina pusat, merupakan saluran darah yang menyalurkan darah dan oksigen ke retina.

Retina merupakan bahagian mata yang sangat sensitif dan berfungsi untuk mengesan cahaya.  Arteri retina pusat yang tersumbat akan menyekat bekalan darah dan oksigen ke retina.  Akibatnya, sel-sel retina akan musnah atau mati.

Semakin lama arteri retina itu tersumbat, kian banyak sel retina akan musnah.

ANGKARA DARAH BEKU

Masalah arteri retina tersumbat berlaku kerana adanya darah beku yang menghalang pengaliran darah di arteri. 

Sumber darah beku ini biasanya adalah daripada arteri karotid yang terletak di bahagian leher atau jantung.  Biasanya darah-darah beku ini boleh mengalir melalui saluran-saluran darah yang besar, tetapi ia akan tersangkut atau tersumbat apabila melalui saluran darah yang lebih kecil seperti arteri retina.

Arteri retina yang tersumbat merupakan satu masalah yang memerlukan rawatan kecemasan.

Seorang pesakit yang mengalami masalah ini akan dapat diselamatkan dan penglihatannya dipulihkan sekiranya beliau mendapat rawatan daripada pakar oftalmologi dalam masa 90 minit daripada saat beliau mula diserang masalah itu.

Selepas 90 minit, rawatan yang diberikan biasanya tidak begitu memuaskan.

Rawatan kecemasan dibuat dengan menggunakan cecair khusus untuk mata dan ubat intravena untuk mengurangkan tekanan darah intraokular.  Matlamat rawatan ini adalah melepaskan darah beku yang tersangkut itu.  Petanda arteri retina tersumbat ialah kehilangan penglihatan satu mata secara serta-merta, biasanya dalam beberapa saat saja.

Namun, ada sesetengah pesakit yang mengalami arteri retina tersumbat untuk sementara waktu saja.  Masalah ini digelar AmaurosisFugax.

HILANG PENGLIHATAN TIBA-TIBA

Pesakit begini biasanya mengalami kehilangan penglihatan tiba-tiba, tetapi kemudian pulih secara spontan.  Pesakit begini boleh dikatakan bernasib baik kerana darah beku yang tersekat di arteri retinanya terlepas dengan sendirinya. 

Namun, mereka masih perlu mendapatkan rawatan supaya sumber darah beku itu dapat dikenal pasti dan langkah-langkah pencegahan diambil agar komplikasi yang lebih serius dapat dielakkan.

Pesakit yang mempunyai sejarah mengalami arteri retina tersumbat perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang rapi kerana ia menandakan adanya sumber darah beku di dalam tubuhnya. 

Ini bermakna pesakit itu berisiko tinggi mengalami serangan jantung atau angin ahmar kerana darah beku lebih besar boleh menyekat saluran-saluran darah yang menyalurkan darah ke jantung dan otak.

Oleh itu, sumber darah-darah beku perlu dikenal pasti dan pesakit perlu menjalani terapi antikoagulasi (anti-coagulation) untuk mencegah dan mengurangkan proses pembentukan darah beku.

Lazimnya pesakit yang mempunyai sejarah menghidap tekanan darah tinggi, kencing manis, hiperlipidemia, pelbagai sakit jantung dan mereka yang merokok dan berlebihan berat badan, berisiko lebih tinggi mengalami arteri retina tersumbat. 

Selain menjalani rawatan untuk arteri retina tersumbat, pesakit perlu menjalani rawatan yang lebih menyeluruh dan rapi. 

Kesimpulannya, seseorang yang mengalami kehilangan penglihatan sebelah mata secara tiba-toba tidak boleh memandang ringan masalah itu kerana ia merupakan amaran bahawa orang itu akan mengalami masalah kesihatan yang lebih serius yang mengancam nyawa seperti serangan jantung atau angin ahmar.

Nota: Penulis konsultan pakar bedah mata di Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) dan Hospital Besar Changi.

Find A Doctor
Book An Appointment
Charges
Events
Newsroom
Contact Us
Feedback
Health X-Change Portal
Quick Links